Cara Mengatasi Hiperemesis Gravidarum Pada Ibu Hamil
May 31, 2016
Tip Mudah Bersalin Tanpa Ubat Tahan Sakit
May 31, 2016

12 Langkah Ini Bantu Ibu hamil Mudah Bersalin

Rezeki setiap orang berbeza-beza. Ada ibu hamil yang dikurniakan rezeki mudah bersalin. Ada juga yang terpaksa menanggung sakit berhari-hari.

Apa pun kita boleh berusaha dan berdoa agar dipermudahkan urusan melahirkan zuriat.

Apa kata cuba 12 langkah berikut ini.

Kerap bersenam, Senaman penting untuk memastikan kesihatan ibu berada pada tahap yang memuaskan. Keraplah bersenam dan pada bulan terakhir kehamilan, buat senaman dengan berjalan selama 30 minit sambil mempraktikkan latihan pernafasan. Langkah ini penting untuk membantu anda mengawal diri ketika menahan sakit dan meneran apabila kepala bayi sudah kelihatan.

Elakkan terlalu banyak berehat, Jangan hanya duduk tanpa berbuat apa-apa. Sambil mengemas rumah, apa kata ibu buat senaman duduk macam itik. Graviti keadaan ibu ketika itu akan merangsang bayi untuk “turun” dan memudakan proses kelahiran.

Jaga pemakanan, Walaupun selera makan mak buyong; memang menjadi-jadi tapi pastikan hanya makan makanan yang sihat dan seimbang. Sesekali sahaja bolehh makan makanan yang kurang berkhasiat; bila tiba-tiba teringin. Apa pun sentiasa pastikan pemakanan seharian lengkap dengan segala keperluan zat makanan. Selain itu, minum air kosong dalam jumlah yang mencukupi dan makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran.

Amal pemakanan sunnah, Selain mengamalkan kurma yang dikatakan bagus dalam membantu mengekalkan tenaga semasa proses bersalin, ibu boleh juga makan kismis, madu dan habbatus sauda sepanjang kehamilan.

Khatam Al-Quran sepanjang hamil, Inilah masanya wanita boleh membaca Al-Quran tanpa halangan keuzuran. Ada sesetengah wanita hamil memilih surah tertentu untuk dibaca ketika hamil.

Amalkan surah Maryam, Sepanjang hamil, jangan culas untuk membaca surah Maryam setiap hari. Surah ini sesuai diamalkan dengan tujuan memudahkan proses bersalin.

Kerap bersama suami, Pada saat akhir menanti kelahiran, keraplah melakukan hubungan intim dengan suami. Doktor berpendapat air mani mengeluarkan hormon prostaglandin yang boleh merangsang kontraksi.

Berendam sebelum ke hospital, Sebelum ke hospital, berendam di dalam tab mandi berisi air suam. Ia dipercayai dapat mempercepatkan proses bersalin.

Pastikan tenaga mencukupi, Tenaga mencukupi adalah penting sebelum ibu masuk bilik bersalin. Makan dan minum secukupnya bagi mengelakkan ibu lapar dan mudah letih sewaktu dalam proses bersalin.

Posisi bersalin, Semasa dalam proses bersalin, ibu boleh mengaplikasikan apa jua jenis posisi yang dirasakan selesa. Apa yang penting jangan berbaring sahaja. Selepas melalui fasa kontraksi, ibu boleh berjalan-jalan di sekitar bilik bersalin.

Jangan meneran, Sebelum tiba masanya, jangan sesekali meneran. Kawal pernafasan dengan menarik nafas secara dalam dan hembus perlahan-lahan, secara konsisten.

Amalan doa dan selusuh, Amalkan doa mudah bersalin apabila kandungan mencecah usia tujuh bulan, di samping mengamalkan minum air atau minyak selusuh. Selain daripada itu, sapu selusuh di perut dari atas ke bawah, bertujuan memudahkan bayi keluar bila tiba masanya kelak.