Bagaimana Mengurus Susu Ibu Perahan Secara Efektif
August 1, 2018
Kelebihan Susu Ibu Untuk Ibu Menyusu
August 1, 2018

Jom Kenali Bahasa Badan Bayi Anda

Pernahkah anda mengetahui bahawa dengan mengenali bahasa badan, anda dapat selesaikan pelbagai masalah?

Bukan sahaja masalah dengan orang dewasa, malah kanak-kanak jua bayi jugak dapat diatasi dengan mudah.

Bahasa badan adalah salah satu komunikasi yang berkesan membantu menyelesaikan masalah.

Bayi anda, adakah anda pernah memahami bahasa mereka? Tika ingin menyusu? Tika lampin basah? Tika ingin berdukung sentiasa?

Pernahkah anda terfikir?

Kali ini, saya akan kongsikan serba sedikit tentang tanda-tanda  bayi anda ketika ingin menyusu.

Ibu-ibu yang menyusu selalu akan merasa risau adakah bayi cukup susu ke? Kenyangkah tidak? Dan ini jugak akan saya kongsikan tanda-tanda bayi anda cukup susu.

 

 

TANDA-TANDA BAYI ANDA INGIN MENYUSU

 

Lazimnya difahami, apabila bayi menangis adalah kerana dia ingin menyusu. Dan ini menjadi satu kefahaman yang sama bagi kebanyakan ibu-ibu.

Kebiasaannya bayi akan menyusu sekitar setiap 1-3 jam/ 10-15 kali sehari. Paten dan kekerapan ini akan berubah dari hari ke hari bergantung kepada pembesaran dan tahap kesihatan bayi anda.

Bayi yang sedang dalam tumbesaran sekitar 1-6 bulan akan kerap menyusu. Dan tempoh penyusuan adalah lebih kurang setengah jam.

Sekiranya tempoh penyusuan lebih lama atau kurang, bergantung pada perlekapan yang tidak betul, bayi kerap tidur, hidungnya tersumbat atau demam.

Bayi yang sihat atau normal tiada masalah penyusuan dan akan menunjukkan signal-signal lapar atau mahu menyusu.

Sebelum bayi menangis ingin menyusu, terdapat tanda-tanda yang perlu ibu-ibu ketahui iaitu:

 

Tanda-tanda Awal: “ im hungry, mom

  1. Bayi kelihatan gelisah, mata terbuka luas (setelah bangun tidur), berkelip kelip mata
  2. Bayi mula menguap, membuka mulut dan muncungkan bibirnya kehadapan seperti mencari-cari sesuatu
  3. Bayi akan menoleh kiri dan kanan mencari-cari payudara untuk dihisa

 

Tanda-tanda Pertengahan : “ im really hungry, mommy”

  1. Bayi akan mula menggerakkan badan dan menggeliat (stretching)
  2. Bayi mula lebih menambah pergerakkan fizikalnya
  3. Bayi mula menghisap jari, selimut, sarung tangan atau apa sahaja kain yang dalam pegangan bayi.
  4. Bayi mula berbunyi-bunyi dengan comelnya

 

Tanda-tanda Akhir : “Calm me please, then feed me”

  1. Tangisan bayi mula kedengaran.
  2. Bayi akan merajuk dan menangis dengan kuat.
    • Seakan sukar dipujuk saat ini.
    • Muka bayi bertukar merah (marah)
  3. Bila bayi menangis, sukar untuk menyusukannya dan tidak melekap dengan baik seolah-olah mogok taknak menyusu
  4. Oleh itu, bayi perlu ditenteramkan, dibelai , dipujuk, ditimang dan bercakap lembut dulu sebelum bayi anda disusukan.

 

*sebaik-baiknya elakkan daripada membiarkan bayi anda memasuki fasa tanda-tanda terakhir. Kerana bila bayi sudah terlalu lapar, proses menyusu mengambil masa yang lama.

 

TANDA-TANDA BAYI ANDA CUKUP SUSU

 

Adalah impian setiap ibu untuk memastikan bayi mereka cukup susu. Dan menjadi kerisauan ibu-ibu jika bayi mereka tidak cukup susu. Kesannya bayi akan meragam menangis dan bertambah-tambah kerisauan si ibu.

 

Mari kita buat sedikit pemerhatian akan perubahan yang menunjukkan bahawa bayi anda cukup susu yang diperolehinya.

 

 

Bayi akan mengalami kenaikan berat badan

 

Kenaikan berat badan bayi adalah tanda bayi cukup susu yang diperlukan.

Umumnya diketahui, berat bayi akan berkurang seidikit selepas beberapa hari kelahiran. Namun selepas satu tempoh, berat bayi akan kembali meningkat untuk membantu tumbesarannya.

Sekiranya berat bayi semakin berkurang dan melebihi 10% , kemungkinan besar, bayi anda tidak cukup susu. Susu yang dihasilkan sedikit atau tidak pekat yang mampu memenuhi keperluan bayi anda.

*Tanda bayi cukup menyusu adalah dengan kenaikan berat badan sebanyak 400gm hingga 1kg setiap bulan.

 

Jumlah lampin yang digunakan bayi dalam sehari

 

Jumlah lampin juga menjadi kayu ukur tanda bayi cukup susu atau tidak. Kebiasaannya bayi akan membuang air kecil dengan kerap menyebabkan lampin basah dan perlu ditukar.

*Normalnya penukaran lampin mungkin dalam 4 ke 6 kali sehari bergantung pada tahap penyerapan pada lampin yang digunakan.

Selain pembuangan air kecil, pembuangan air besar (najis) juga menjadi ukuran untuk melihat tanda-tanda bayi anda cukup susu atau tidak.

Najis yang normal bagi bayi yang menyusu secara ekslusif adalah warna kuning cerah dan cair. Manakala bagi bayi yang menyusu formula, najis yang dikeluarkan sedikit hijau atau kadang-kadang keras kerana kandungan zat besi tinggi.

Adalah penting untuk memastikan sekurang-kurangnya sekali lampin basah (disebabkan najis) sehari bagi mengetahui bayi cukup susu untuk keperluannya.

 

 

Si ibu mendengar bunyi bayi menyusu

 

Lagi tanda si bayi cukup susu yang dihisap adalah bunyian seolah sedang menghisap dan menelan susu.

Tanda ini penting menunjukkan kepuasan si bayi ketika menyusu.

Tidak semua bayi akan mengeluarkan bunyi ketika menyusu. Namun pengalaman sendiri, bunyi bayi yang dihasilkan kadang-kadang jelas kedengaran.

*Misalnya bunyian seperti.. “glurp, glurp, glurp..” atau bunyian seperti slurp..slurp.. Kelihatan comel dan lucu bunyian itu.

Apabila kepuasan menyusu itu hadir, maka susu yang dihasilkan oleh badan cukup mengenyangkan si bayi.

Dan pastinya mengembirakan ibu dan anak!

 

 

Si ibu melihat sisa susu di sekitar bibir bayi

 

Ketika sedang menyusu, si ibu boleh menekan atau mengurut payudara bagi melancarkan penyusuan terhadap bayi. Ini membantu melajukan pancutan pengeluran susu ke dalam mulut bayi.

Meskipun demikian tidak semua ibu mempunyai aliran susu yang deras.

Dan sekiranya ada, si ibu boleh melihat sisa-sisa susu yang mengalir di sekitar bibir bayi menunjukkan bayi menerima susu yang cukup ataupun susu anda cukup untuk keperluan bayi anda.

Keep fighting yeah!

 

 

Payudara si ibu lembut dan ringan

 

Sebelum bayi menyusu anda, payudara anda pastinya rasa penuh dan seakan membengkak. Namun selesai penyusuan, payudara si ibu akan kempis dan lebih ringan serta lembut.

Namun , sekiranya setelah penyusuan, payudara anda masih bengkak lagi, kemungkinan besar saluran susu telah tersumbat dan menjadi ketulan.

Maka, adalah perlu si ibu mendapat khidmat nasihat bagi mengurangkan bengkakan payudara si ibu.

Antara petua yang biasa menjadi amalan sebahagian ibu adalah kaedah tuaman dan urutan. Kaedah tuam perlu dengan kain lembap suam dilap sambil diurut-urut dari aliran bawah ketiak bawa ke aerola puting.

Ini membantu melancarkan aliran susu keluar dan memenuhi keperluan bayi anda seadannya.

 

 

Bayi akan tidur dengan lena terutama di malam hari

 

Satu lagi keadaan yang paling comel pernah dilalui sebilangan ibu adalah bayi tertidur dalam kekenyangan.

Pernahkah anda melihat bayi anda kelihatan mabuk susu? Hinggakan tidurpun mulut masih dalam keadaan terbuka. Comel betul!

Enjoylah keadaan itu ye ibu-ibu.  Si ibu boleh berehat jugak at least 2 hingga 3 jam sebelum dia akan bangun semula dan meminta susu lagi.

Keadaan seperti ini akan berulang-ulang untuk sampai tempoh beberapa bulan atau sebelum bayi anda diperkenalkan makanan pejal.

 

 

Rujukan:

  1. https://my.theasianparent.com/
  2. http://www.mithalimoms.com.my
  3. https://www.babysignlanguage.com/